Jom Ikut Blog Saya

Ahad, 31 Julai 2011

Baju tidur untuk puteriku bahagian 1

Baju tidur ini saya jahit ketika saya sedang seronok menjahit 'peasant style' suatu masa dahulu.
Sekali tengok macam baju 'the clown' kan?
Hehehe
Tapi saya suka dan puteri saya pun suka
Jom layan!!!



Tutorial untuk menjahit 'peasant style' ini boleh dirujuk di bawah: JOm....
http://zakiahags.blogspot.com/2010/10/peasant-blouse-atau-peasant-maxi.html

Jumaat, 29 Julai 2011

Bulatnya!

Pernah tak anda ditegur oleh seseorang " Amboi! bulatnya sekarang?"
Tak kiralah sama ada ia merujuk kepada pipi atau perut...Senyum sahajalah kan...

Namun itu bukanlah fokus saya pada hari ini

Pasti anda tahu kan ada ciptaan yang sememangnya bulat...

Cuba lihat gambar di bawah
Ketika kecil dan diberitahu oleh guru bahawa dunia itu bulat...saya sering terfikir agaknya jika saya kayuh basikal 'chopper' biru saya itu jauh-jauh...pasti saya akan sampai ke Jepun untuk bermain salji ( :) semasa kecil banyak sangat menonton drama alih bahasa Jepun..penangannya hingga sekarang)

Kemudiannya ketika saya di sekolah rendah, skuad bola sepak Johor sangat hebat...

Saya seronok sangat meskipun saya tak berapa faham bila menontonnya kerana saya masih ingat pernah ada cuti sekolah dihadiahkan oleh Almarhum Sultan Johor waktu itu apabila skuad bolasepak Johor menjuarai pertandingan.

Sebenarnya saya bukannya mahir bercerita tentang bola sepak kerana saya anggap suami saya ialah kamus sukan. Dia selalu ada untuk menjawab perlbagai perkara yang saya tidak faham tentang sukan.

Namun menonton perlawanan timbal balik Malaysia Vs Singapura malam tadi...saya sudah maklum....bola itu sememangnya bulat...ia memang mudah bergolek sama ada ditendang atau tidak.

Skuad Harimau Malaya hebat malam tadi...Syabas!

Penonton Malaysia hebat malam tadi...Syabas!


Mungkin ada banyak teknik baru pasukan lawan yang boleh dijadikan teladan.
Pada saya...tak salah meniru perkara atau teknik yang baik...

dan....

Percayalah bola itu memang bulat dan ia akan sentiasa bergolek...
Suatu hari nanti moga lebih banyak kemenangan akan diperolehi oleh Malaysia....


Agak-agaknya jika bola tidak bulat....
Mungkin inilah bentuknya...
Jika warnanya terang pasti kita sakit mata...Senyum selalu


Khamis, 28 Julai 2011

Kembara Prihatin Ceriakan Anak-Anak Yatim di Rumah POSHe

Berita di bawah saya salin 100% daripada berita aktiviti di laman web Alaf 21 http://www.alaf21.com.my/berita/?b=201107285975588759

Saya: Buat Grup Buku Karangkraf dan suami serta Posche...terima kasih kerana sudi menjemput saya untuk turut serta...Banyak yang saya belajar di sini dan ada kesayuan yang bertapak di dalam hati saya...Subhanallah
Puan Zakiah penulis buku Riang Ria Almira sedang bercerita.
Persembahan turut dirakamkan Kids On 2.

GRUP Buku Karangkraf melalui kerjasama dengan Electronic Media Airtime Services Sdn Bhd (EMAS) terlibat di dalam program Kembara Prihatin dengan berkunjung ke rumah kebajikan POSITIVE SHELTER HOME (POSHe) di Cheras pada 26 Julai lalu. Rumah kebajikan ini dihuni oleh kira-kira 15 orang anak yatim.

Program sehari di POShe bertujuan mengemas semula ruang tamu dan mini perpustakaan yang ada di sana. Buku-buku lama yang telah telah digunakan dikumpulkan semula dan bakal dijual semula dan hasil jualan akan didermakan kepada tabung POSHe.

Grup Buku Karangkraf telah menampilkan Pn Zakiah Abd Ghafar, penulis buku kanak-kanak yang telah menerbitkan 3 judul buku di bawah terbitan kami bagi sesi bercerita. Kisah Pensel Ajaib dipetik daripada buku Riang Ria Almira telah disampaikan selama setengah jam amat menggembirakan penghuni POSHe. Lebih-lebih lagi sesi tersebut turut diselang-selikan dengan soalan ringkas dan hadiah tajaan Grup Buku Karangkraf turut diberikan kepada pemenang. Grup Buku Karangkraf menyumbangkan bahan bacaan bernilai RM800 kepada POSHe.

Keriangan kanak-kanak diteruskan dengan kehadiran Uneh, Raja Pensil Warna yang mengajar melukis dan kaedah mewarna dengan betul.

Di samping itu, krew rancangan Kids On 2, turut hadir bagi merakamkan segala aktiviti yang berlangsung dan bakal disiarkan pada 27 Ogos 2011. Tidak ketinggalan penaja yang turut hadir dalam program ini seperti Galeri Ilmu, Bank Simpanan Nasional, Kamil Learning & Consultancy (penaja Superneuron) dan Kumpulan Raihan. Makanan sarapan, tengah hari dan minum petang ditaja oleh Bakeri Ibu.

Sebelum program berakhir, Penghuni POSHe turut mendendangkan dua buah lagu nasyid. Menurut Puan Wan Hava binti Wan Hussin, yang lebih gemar dipanggil Mak Wan, pengasas POSHe sangat mengalu-alukan program sebegini, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan tidak lama lagi. Beliau turut mengalu-alukan sebarang sumbang kepada tabung POSHe kerana rumah kebajikan yang diasaskan pada tahun 2009 ini masih memerlukan dana bagi menampung kos keperluan harian penghuninya.

Berikut disenaraikan penaja program ini:

1) Grup Buku Karangkraf
2) Grup Majalah Karangkraf
3) Karangkraf Peduli
4) Galeri Ilmu
5) Bank Simpanan Nasional (BSN)
6) Kamil Learning & Consultancy (KLC) – Superneuron
7) Uneh (Raja Pensil Warna)
8) SIFIR’A
9) Reka Teemor
10) Mr Paint Man
11) Touch Gallery
12) RAIHAN
13) Cyberbang

ANDA DIPERLUKAN

Anda di alu-alukan menjadi sukarela untuk POSHe dan bergabung dengan kami untuk melakukan perubahan! Anda menjadi sukarelawan yang boleh menyumbang dalam berbagai bentuk:

- Menjadi Sukarelawan
- Kepakaran dan idea bernas
- Kemahiran dan ketrampilan
- Pakaian
- Bahan Makanan
- Kewangan dengan menyubang ke:

Tabung Poshe Positive Shelter Maybank: 564557124750

SILA RUJUK PADA PUAN WAN HAVA WAN HUSSIN A.K.A (makwan)
No.2, Jln.Budiman 14, Taman Mulia,
Bandar Tun Razak,Cheras,
56000 Kuala Lumpur

E-mel: positiveshelter@gmail.com,
fax: tel:/ HOT LINES : HP 016-627-1883


Anak-anak POSHe ceria bergambar bersama kumpulan RAIHAN.


Aktiviti permainan SUPERNEURON



Senarai penaja program ini


Raja Shahfaizal (berbaju biru) dan Uneh ditemu bual Buzz untuk program Kids On 2 (RTM2)


Raja Shahfaizal sedang menyampaikan mock up cek kepada Puan Wan Hava.


Anak yang bertuah menjawab soalan tepat menerima hadiah istimewa.


Puan Zakiah menyampaikan cenderamata kepada seorang kanak-kanak penghuni rumah POSHe.


Uneh sedang memberikan tip mewarnakan lukisan.


Menceriakan tetamu dengan dendangan nasyid.

skirt puteri 1 bahagian 1

Skirt yang saya buat untuk anak-anak atau untuk diri sendiri...
Biasanya akan ada kain kosong berwarna hijau...
Nak tahu kenapa?
kerana saya gunakan kain lebihan membuat kain sekolah kafa anak-anak...
sayang untuk membuang lebihan kain yang besar...
saya selang-selikan kain kosong dengan kain berbunga supaya tak nampak macam kain sekolah :)

Rabu, 27 Julai 2011

JOM BACA KID's PRIMA




Anda tercari-cari buku-buku cantik dan berkualiti untuk anak-anak?
Buku-buku yang terpamer di atas adalah antara jawapannya. Banyak lagi yang akan saya pamerkan, terbitan hebat Grup Buku Karangkraf.
Bukan sahaja mengandungi cerita yang menarik dan gaya bahasa yang ringan yang mampu mendorong anak-anak untuk bercerita, membuat ayat dan karangan.
Ia juga dicetak di atas kertas kilat yang berkualiti tinggi.

Mari klik di sini untuk membeli secara online KARANGKRAF MALL

Jika berhajat untuk membeli buku tulisan saya terus daripada saya iaitu:

1) Riang Ria Almira

2) Impian Almira

3) Dunia Almira

Boleh hubungi saya di zakiahags@yahoo.com.

Apa tunggu lagi...
Jom jangan lepaskan peluang ini...

Ahad, 17 Julai 2011

Gaun puteri bahagian 3

Akhir-akhir ini projek jahitan saya nampaknya terpaksa menunggu giliran di belakang. Bukan saya dah lupakan hobi yang menyeronokkan itu tetapi terlalu banyak projek yang meminta perhatian saya untuk dilunaskan. :)

Akhirnya gaun untuk puteri sulung telah siap untuk dipakai. Kain Japanese cotton itu saya beli di Nagoya, Shah Alam dan kain kosong untuk tali pinggang saya beli di Tewah di Mines. Sengaja saya padankan kain kosong yang menyerlah dengan warna kain berbunga yang agak gelap itu supaya gaun itu nampak lebih manis.

Ini kali pertama saya cuba menjahit gaun bertingkat dua. Sebelum ini untuk gaun puteri tiga dan dua, saya jadikan ia sebagai renda sahaja.


Selasa, 12 Julai 2011

Apa kata anda? Ada apa dengan cinta?

Topik saya hari ini mudah cinta. Saya pernah ditanya oleh seorang remaja, apakah yang boleh dibuatnya di musim cuti ini. Tanpa bertangguh, saya menjawab jadilah seorang penulis dan seperti saya dia tanpa bertangguh bertanya lagi tentang topik yang ditulisnya. Mudah sahaja jawapan saya!

Saya kata awak kan remaja tulislah mengenai topik cinta. Dia menjuih bibir. Padanya cinta itu nampak sempit tulisannya namun bagi saya tidak. Cinta itu sangat luas. Pasti ramai yang bersetuju dengan ayat saya ini. Bab ini...saya akan sambung lagi kemudian.


Saat ini saya teringat soalan yang pernah ditanyakan kepada saya. Ada kawan perempuan (yang masih bujang) bertanya apakah pandangan saya sekiranya ada lelaki yang lebih rendah tahap pengajiannya datang melamar. Saya terdiam sejenak untuk mengatur bahasa. Yalah lain orang lain pandangannya.

Saya tidak boleh pukul rata semua orang itu sama. Mungkin ayat saya nanti terlalu jujur, saya perlulah mengatur bahasa lebih baik. Saya cuba memandang contoh-contoh di sekeliling. Saya perlu berfikir dalam bagi menyelusuri topik ini. Yalah, manalah tahu kalau-kalau nasihat saya akan terus diambil bulat-bulat.


Bagi saya, ilmu sememangnya sangat penting kerana itulah harta pusaka yang diwariskan oleh abah dan emak saya kepada anak-anaknya. (Alhamdulillah atas semangat dan jerit perih yang terpaksa dilalui oleh emak dan abah sehingga saya mencapai apa yang saya miliki sekarang). Saya sentiasa ingat ayat abah dan emak saya sampai bila-bila. Namun ilmu itu secara ringkasnya boleh dimiliki melalui 2 kaedah sama ada formal atau tak formal. Ini pandangan saya ya!


Bagi yang telah memiliki sijil atau diploma atau ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana atau phd. Tahniah! Jerit perih belajar telah terlunas. Namun saya maklum tidak semua orang ada kemampuan atau kesempatan untuk memiliki semua itu. Besar sungguh dugaan untuk menggapai awanan tinggi. Ada banyak duri dan rintangannya.


Berbalik kepada soalan kawan saya tadi. Bagi saya tidak mengapa. Yang penting pasangannya tidak bersifat jumud dalam mencari ilmu. Yang paling penting asas yang wajib diketahui sebagai seorang muslim sememangnya diketahui dan diamalkan. Yang penting juga dia bukanlah orang yang mengambil kesempatan ke atas pasangannya. Meskipun gajinya lebih kecil daripada sang isteri tetapi dia membiayai keluarganya dan isteri boleh menambah apa yang perlu. Yang penting dia menyayangi isteri dan menerima keluarga isteri sebaiknya. Isteri juga begitu.


Kata abah saya : jangan belanjakan gaji kita sebelum gaji itu sampai. Mudahkan ayat itu tetapi itulah asas perbelanjaan kita. Jangan berhutang (jika kita mampu membayar dengan tunai) dengan mengharapkan gaji kita nanti akan mampu membayarnya. Sentiasa mengukur baju di badan sendiri.


Bagi saya, kebahagiaan dan ketenangan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Nilainya ada di hati dan di jiwa.

Sabtu, 9 Julai 2011

Tips pengurusan pakaian sebuah keluarga bahagian 3

Saya pernah menggarap 2 bahagian tips pengurusan pakaian sebuah keluarga sebelum ini yang boleh dilihat semula di:

http://zakiahags.blogspot.com/2009/03/tips-pengurusan-pakaian-sesebuah.html

http://zakiahags.blogspot.com/2009/03/tips-pengurusan-pakaian-keluarga-2.html

Hari indah di hari Sabtu 9 Julai 2011 ini, hati saya terusik untuk menyambung garapan itu....(teringat tajuk novel Hati yang terusik garapan novelis hebat Nia Azalea :) Novel ini diterbitkan oleh Alaf 21 beberapa tahun lepas.)

Menjadi satu perkara penting dalam jadual hari Sabtu ialah mencuci pakaian anak sekolah. Hmm nampak senang kan tetapi realitinya aduh! boleh menangis kalau tangan, kaki dan mata tidak kuat. Kenapa saya berkata begitu? Tahu sahajalah pakaian sekolah anak-anak yang wajib ialah warna putih. Kekadang saya terfikir pasti mudah sedikit jika pakaian sekolah anak saya bukan berwarna putih...Fuhh!!!

Imaginasi saya pasti warna merah jambu atau ungu....ini kira warna baju anak perempuan ataupun jika nak mudah warna gelap sahaja, mudah benar hendak cuci jika dibandingkan dengan warna putih...


Mari kita berkongsi sedikit tips mencuci pakaian sekolah anak.

Tips 1:
Seperti biasa seperti yang disebutkan dalam tips yang lepas. Asingkan warna gelap dan warna lembut. Mudah nanti kerja ibu.

Biasanya saya akan mulakan tugas ini sedari hari Jumaat lagi. Basuh dahulu kain-kain / seluar-seluar sekolah dan kemeja T sukan sekolah (anak saya pasukan merah dan kuning).
Terpulang sama ada mahu mencuci tangan atau menggunakan mesin basuh. Jika menggunakan tangan, rendam dahulu. Jika menggunakan mesin basuh, lihat kadar kekotorannya. Jika sangat kotor, amalkan untuk menekan butang SOAK (rendam), EXTRA WASH dan EXTRA RINSE. Untuk menjaga kualiti pakaian ini (untuk mengelakkan berbulu atau terlalu renyuk), tekan juga butang GENTLE SPIN.
Kira selesai sudah langkah 1.

TIPS 2
Untuk pakaian berwarna putih, ada beberapa langkah yang dicadangkan untuk dipilih sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh atau cucian tangan iaitu:

2.1 Tabur bedak pada kesan kotoran berminyak (alahai anak-anak saya semacam menjadi satu kewajipan, pasti ada kesan ini pada baju atau tudung mereka....kocek baju sekolah apatah lagi...jika tidak dibuatkan kocek pada baju kurung itu kasihan pula)

2.2 Jika tidak mahu taburkan bedak seperti di atas, boleh sapukan sabun mandi. Sabun mandi ini bukan sahaja boleh digunakan kotoran berminyak malahan juga sesuai diletakkan pada kotoran yang lain contohnya kesan hitam pada bahagian bawah lengan baju atau kesan-kesan gris pada pakaian.

2.3 Jika tidak sempat juga untuk melakukan langkah 2.1 dan 2.2, sebagai alternatif boleh sapukan secair pencuci pakaian pada kesan kotoran itu. (Kita bermainlah sedikitlah dengan sabun ini ya tetapi hati-hati sabun ini mempunyai pH alkali. Tidak semua kulit dapat bertahan dengan pH alkali yang tinggi...kita perlu pilih sabun yang sesuai dengan kulit kita ya).

2.4 Satu lagi tips yang saya pernah dapat ialah jika ada kesan karat pada pakaian, boleh mencuba untuk letakkan perahan air limau kasturi/nipis. Wallahualam...Tips 2.4 ini saya tidak pernah buat lagi kerana jarang terkena.

Biasanya selepas tips di atas dipilih untuk digunakan pada pakaian barulah saya akan mencucinya. Sekiranya saya memilih cucian mesin, saya akan amalkan untuk menekan butang SOAK (rendam), EXTRA WASH dan EXTRA RINSE. Untuk menjaga kualiti pakaian ini (untuk mengelakkan berbulu atau terlalu renyuk), tekan juga butang GENTLE SPIN.

Setelah pakaian ini selesai diperah secara lembut oleh mesin basuh, saya akan melakukan langkah seterusnya iaitu nila baju. (Saya suka melihat pakaian putih yang dinila...cantik sekali warnanya).

Teringat ketika di zaman tinggal di asrama dahulu, biasanya jika ada yang telah membuat air nila, kita akan berkongsi dengan kawan-kawan yang lain pula...
Untuk saya pula, saya lebih gemar menggunakan nila cecair berbanding nila serbuk. Lebih mudah.

Sebelum saya berhenti, saya ingin berkongsi satu tips lagi iaitu:

TIPS 3
Jika mahu menila pakaian, saya syorkan untuk tidak menggunakan cecair pelembut pakaian. Berdasarkan pengalaman saya jika cecair ini digunakan bilasan terakhir pakaian putih, nila yang terhasil pada pakaian kurang cantik.

Sekian dahulu.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...