Jom Ikut Blog Saya

Ahad, 29 Mac 2009

TIPS PENGURUSAN PAKAIAN SESEBUAH KELUARGA 2

TIP PEMILIHAN PAKAIAN UNTUK DICUCI

Banyak tips yang saya perolehi daripada emak dan abah kesayangan dan ramai lagi insan-insan istimewa yang tidak mampu saya nukilkan satu persatu nama beliau.
Pendek kata, tip-tip yang diperturunkan ini telah banyak membantu saya dalam menjalankan tugas seharian dan ingin saya kongsikan bersama saudari sekelian.
Dalam artikel pendek ini, saya ingin berkongsi mengenai tips pemilihan pakaian untuk dibasuh. Ini adalah untuk memastikan supaya pakaian bertahan lebih lama dan masih seperti baru.

  1. Jika saudari mempunyai banyak masa berlebihan, petua abah saya ini bolehlah dipraktikkan. Abah saya memang tidak gemar pakaiannya dicuci dengan mesin basuh. Sebab itu ayah saya mempunyai banyak pakaian yang nampak seperti baru dan tidak berbulu.
  2. jika langkah pertama tidak berkaitan dengan saudari, sila gunakan petua keduaini ; hanya pilih pakaian baru dan pakaian sensitif sahaja untuk dibasuh menggunakan tangan.
  3. Seperti di atas, jika langkah pertama tidak dapat diamalkan, sila pastikan saudari mengkelaskan pakaian untuk dibasuh seperti di bawah:
  • Sila asingkan baju berwarna cerah dan berwarna gelap. Ia tidak sesuai dibasuh dalam satu basuhan untuk mengelakkan warna menjadi agak buruk atau kusam
  • Sila asingkan tuala daripada pakaian yang lain. Tuala hanya boleh dibasuh dengan tuala untuk mengelakkan bulu-bulu tuala yang mudah bertukar menjadi partikel halus mencemarkan pakaian harian kita. Biasanya saya akan mengumpulkan tuala kotor di dalam bakul basuhan berwarna hitam dan membasuhnya sekali seminggu. Ia adalah dengan syarat bahawa tuala itu tidak basah.
  • Jika mahu membasuh pakaian putih menggunakan mesin basuh pula, sila pastikan ia dibasuh sesama pakaianberwarna putih sahaja bagi jaminan warna putih yang cantik.
  • Jika tidak sempat untuk membasuh pakaian baru atau sensitif menggunakan tangan, biasanya saya akan menggunakan kelonsong/ jejaring basuhan yang terdapat pelbagai saiz dan pelbagi jenis material. Kelongsong yang berwarna putih ini mudah didapati di mana-mana pasaraya atau pembelian melalui katalog. Malahan kedai RM2 atau RM1.90 juga juga turut menjual kelongsong begini. Ia adalah dibezakan daripada segi kualiti material dan zip kelongsong tersebut.
  • Jika berkesempatan pula, biasanya saya akan membasuh pakaian baru atau sensitif secara sambilan semasa mandi. Sebab itu kadangkala saya mandi agak lama. Ini adalah antara sebabnya. Hehehehe.........:) Jika kita membasuh sambilan begini, kita tidak akan terasa keletihan. Kita perlu bijak mencuri masa kerana hanya kita dapat menentukan masa rehat kita sendiri. Biasanya pakaian orang dewasa tidak terlalu kotor.
  • Bagi pakaian anak-anak sekolah, saya tiada pilihan lain selain menggunakan berus kerana kekotorannya sangat boleh tahan terutama pada bahagian tangan dan kaki seluar.
  • Bagi kemeja suami pula yang tidak dikategorikan sebagai sensitif atau muda berbulu, biasanya saya akan mencalitkan sabun basuh kain berbentuk buku pada ruang kolar baju dan kancing kedua-dua lengan supaya kotoran mudah tanggal jika dibasuh dalam mesin basuh.
  • Saya turut membasuh alas kaki secara berkumpulan menggunakan mesin basuh jika tidak punya masa yang banyak untuk memberus.
  • Malahan kain buruk juga saya basuh secara berkumpulan selepas dibilas satu persatu dengan mudah di sinki. Biarkan saja ia diputar oleh mesin basuh.

Ini adalah antara tip-tip mudah yang dapat saya kongsikan dengan saudari sekelian. Untuk kemudahan kita, sila letakkan bakul untuk meletakkan baju kotor di sebelah mesin basuh. Saya sendiri menggunakan bakul jaring berwarna hitam dan anak-anak memanggilnya dengan gelaran 'black basket'. Dalam hal ini sudah tentu kita memerlukan kerjasama para suami dan anak-anak untuk meletakkan pakaian kotor mereka sesudah mandi bagi mengelakkan kewujudan pakaian yang menjadi tempat penternakan cendawan atau pembiakan kulat jika dicampak tidak tentu hala.

Sekian. Selamat Mencuba!!!!!!!!!!!

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...