Jom Ikut Blog Saya

Khamis, 2 April 2009

Pengalaman melahirkan anak

Setiap kelahiran anak akan memberikan satu pengalaman baru buat insan istimewa bernama ibu dan ayah.

Tidak terkecuali dengan saya. Saya baru sahaja mempunyai tiga orang puteri yang setiap satunya mempunyai kelebihan dan keunikan masing-masing.

Mengapa waktu ini secara tiba-tiba, saya ingin berkongsi pengalaman melahirkan anak. Pasti ada sesuatu kejadian yang mencetusnya.

Ia lebih kepada perasaan terkilan yang sukar digambarkan. Saya hanya menyedari satu sms penting yang dihantar oleh seorang rakan sekerja pada waktu 6.30 pagi ketika saya sedang sibuk memasak di dapur dan waktu itu jam sudah lebih pukul 11 pagi.

Rasa terkilan timbul kerana saya tidak sempat memberikan idea untuk soalan yang ditimbulkan oleh beliau. Beliau sedang sarat mengandung dan subuh tadi, air jernih yang tidak dapat dikawal keluar secara tiba-tiba dan ketika saya segera menelefonnya, beliau sudah pun ditahan di wad bersalin.

Baiklah....... sebagai panduan saya ingin berkongsi pengalaman saya..... mungkin juga dapat dijadikan panduan dan pengajaran buat semua insan yang bakal bergelar ibu atau bakal melahirkan cahayamata lagi atau seorang lelaki yang bakal bergelar bapa atau bakal menerima kelahiran cahayamata lagi.

Sesungguhnya saat kelahiran adalah salah suatu saat yang mencemaskan dan kehadiran cahayamata yang selama ini tersorok di dalam alam rahim kita adalah suatu nikmat.



Kelahiran Puteri sulung saya. Beliau lahir 15 hari daripada tarikh yang dikira oleh doktor pakar yang merawat saya. Sesungguhnya saya sendiri tidak menyangka bahawa puteri comel ini akan lahir pada hari tersebut. Almaklumlah anak pertama. Memang saya ada merasakan perut yang agak tidak selesa tetapi pada saya ia hanyalah ketidakselesaan perut yang biasa.

Waktu itu juga saya baru sahaja beberapa minggu menjalankan kerja seperti biasa sepulangnya saya daripada kursus induksi. Maka sudah tentu banyak kerja yang tertangguh dan saya seolah-olah tidak bersedia untuk melahirkan anak pada waktu itu.

Namun ALLAH s.w.t Maha Mengetahui yang terbaik buat hamba-hambaNYA dan siapalah saya untuk menidakkan bahawa puteri saya bakal dilahirkan pada hari itu. Dalam kesibukan dan kegawatan di tempat kerja, saya menyedari sesuatu tanda yang luar biasa dan tidak pernah wujud selama saya mengandung selama ini.
  • Ada tanda darah yang saya sedari sewaktu saya mengunjungi bilik air dan hal ini amat mengejutkan saya. Almaklumlah anak pertama.

Segera saya bertanya pada rakan-rakan yang berpengetahuan dan kebetulan mereka mengesyorkan untuk saya bertemu doktor yang merawat kerana terdapat rakan mereka yang menunjukkan tanda ini sewaktu hari kelahiran anak mereka.

Apa lagi saya dan suami segera bergegas ke Pantai Medical Centre, Bangsar. Kebetulan juga pada waktu pakar O&G yang sering saya kunjungi bercuti dan saya bergegas menemui pakar lain yang telah disampaikan kepada kami sewaktu kunjungan yang lepas. Maka Doktor Idris yang sungguh berhemah dan matang memberitahu saya dan suami bahawa ini adalah salah satu tanda kelahiran dan saya boleh melahirkan anak bila-bila masa sahaja daripada sekarang.

Wah!!! Terkejut betul saya dan suami. Mujurkan juga saya memang telah bersedia membawa pelbagai kelengkapan dalam sebuah beg di dalam bonet kereta semenjak kandungan saya berumur 8 bulan lagi. Ini kerana rumah saya dan pejabat agak jauh, maka sudah tentu saya perlu berjaga-jaga.

Saya kembali semula ke pejabat dan pulang ketika waktu maghrib menjelma kerana bimbang jika saya tidak dapat hadir ke pejabat esok. Sekurang-kurangnya semua perkara yang perlu dimasukkan ke mesyuarat beberapa hari lagi telah siap difotostat dan distapler. Ini akan memudahkan tugasan pegawai yang menanggung ketiadaan saya kelak.

Mengingati pengalaman seorang rakan yang tiada tenaga sewaktu kelahiran anak pertamanya kerana tiada selera makan. Saya dan suami masih sempat ke pasar malam berhampiran rumah sewa dan membeli nasi ayam. Berselera benar saya menjamah nasi ayam itu. Rasa kontraksi telah mula timbul sedikit demi sedikit sewaktu saya menunaikan solat maghrib dan isyak. Saya masih tidak pasti adakah ini tandanya kontraksi namun atas nasihat kakak ipar yang tinggal bersebelahan rumah saya, saya dan suami segera ke hospital.

Di sepanjang perjalanan saya dan suami tidak putus-putus membaca pelbagai zikir, salawat dan ayat Al-Quran yang mampu kami hafaz. Ini adalah atas nasihat emak saya. Malah doa Nabi Yunus sewaktu baginda di dalam perut ikan yu turut saya baca berpuluh kali. Malahan sebelum bertolak ke hospital, suami saya turut membacakan Surah Yasin atas nasihat emak Sudah tentu emak dan emak mertua menjadi tempat rujukan saya dalam hal ini dan keampunan emak dan abah saya dan mentua saya pohon sebelum pergi ke hospital.

Saya pernah mendapat petua mudah kelahiran daripada isteri kepada rakan suami saya iaiatu dengan memohon ampun dengan suami. Sudah tentu hal ini turut saya amalkan.

Ketika kami sampai ke hospital. Saya berasa sungguh kaget kerana kakitangan hospital menolak saya menggunakan kerusi roda daripada entrance kecemasan dengan pecutan yang di luar jangkaan sedangkan saya masih boleh berjalan. Saya segera mengisi borang kemasukan wad dan menukar pakaian hospital serta ditolah ke wad bersalin. Doktor pakar menyatakan bahawa bukaan saya telah pun mencecah 4 cm.

Satu lagi petua rakan saya ikuti iaitu sekiranya kita mahu mengambil ubat pelali. ambillah ubat pelali yang tidak akan menghilangkan terus kesakitan kita dan kita masih merasakan kontraksi. Maka sudah tentu Pethidine menjadi pilihan saya dan rakan saya memeberi nasihat sekiranya saya ingin mengambil Pethidine, biarlah sebelum bukaan mencecah 5 cm.

Doktor sendiri tidak menyangka bahawa bukaan saya berlaku begitu cepat mencecah 10 cm. Mungkin juga kerana saya telah mandi sebelum pergi ke hospital atau mungkin juga kerana saya banyak berjalan selama ini dan masih bergerak-gerak ke hulu hilir di dalam wad bersalin kerana berbaring di atas katil menunggu kelahiran adalah sangat mencemaskan.

Malam itu lahirlah puteri sulung saya. Alhamdulillah. Sesungguhnya pelbagai petua telah saya ikuti dan amalkan dan sesungguhnya hanya ALLAH s.w.t yang Maha Menentukan dan Maha Memudahkan.

Alhamdulillah

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...