Jom Ikut Blog Saya

Ahad, 10 Oktober 2010

Apa yang boleh dibuat dengan tuala yang koyak

Apa ya agaknya yang kita boleh buat dengan tuala yang koyak????
Hendak dibuang sayang pula...
Tuala yang tebal harganya agak mahal sedikit.
Hendak dibuat kain buruk...sudah terlalu banyak kain buruk....Hinggakan laci kain buruk sudah bertambah kuantitinya.
Saya ingin berkongsi sesuatu.
Jika ada sesiapa yang ingin turut membuatnya...jomlah....kita berpakat buat berama-ramai...
Dapatlah juga berjimat kerana tuala yang sama masih boleh digunakan lagi...
Saya tiada mesin jahit bersulam...Bentuk hati hanya dijahit menggunakan jahitan zigzag.
Selamat mencuba ya...Marilah kita kongsikan hasilnya


>

Khamis, 10 Jun 2010

Ubahsuai T-shirt Bahagian III

Nampaknya lama sudah blog saya ini tidak berusik...
Kaku terpamer kandungan yang sama.
Bukan tidak ada idea.
Tetapi saat ada idea...ada kekangan yang menjadi penghalang.
Di saat in, saya ingin kongsikan projek ubahsuai t-shirt saya yang lama sudah berjaya
Tetapi tidak sempat lagi nak dikongsikan.
Sekiranya ada yang berminat untuk lakukan perkara yang sama, amat saya alu-alukan...
Selamat mencuba ya



Gambar 1: Kain dari jenis kain t-shirt berjalur-jalur yang saya beli dari rakan di pejabat


Gambar 2:T-shirt berkolar jenis panjang yang saya beli. Gatal tangan saya nak mengubahnya tanpa sebab


Gambar 3: Mesin jahit yang saya gunakan selama ini. Hadiah dari abah dan emak. Sudah lama saya pakai, Alhamdulillah ia masih berkeadaan baik


Gambar 4: T-shirt selepas diubahsuai...Saya jahitkan juga butang di hujung belahan baju di kiri dan kanan baju. Heheh oleh kerana segan nak pamerkan muka...gunakan buku Dunia Almira sebagai perisai wajah.... Nampaknya ada comel mama yang nak mencelah masuk juga....heheh....Silakan

Isnin, 22 Mac 2010

Dunia Almira yang saya sayangi


Hari ini saya telah membawa stok Dunia Almira ke pejabat, menghantar pesanan buat rakan-rakan yang telah awal menempah.

Gembira sungguh...

Untuk penulis yang sungguh baru di dunia penulisan...saya lah tu.

Hati saya bagaikan tersenyum menemani kepala saya yang pusing...

Bukan pusing kerana tertekan...

tetapi kerana kesihatan yang tidak begitu mengizinkan...

Subhanallah...

Terima kasih buat rakan-rakan serta ketua-ketua yang sudi membeli...

Banyak naskah yang terjual.

Terima kasih juga buat rakan-rakan yang sudi mempromosi buku-buku ini...

Ia bagaikan iklan indah yang menemani perjalanan Dunia Almira...


Ramai yang bertanya...

Siapakah kanak-kanak comel di dalam Dunia Almira

Besar hati saya untuk berkongsi.



Ahad, 21 Mac 2010

TIP UNTUK IBU BAPA

INFO: Tip untuk ibu bapa
Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.
FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam

1) Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.

2) Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.

3) Susu segar - Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri - biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.

4) Telur - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli - ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.

5) Halia - Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.

6) Buah Delima - Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”
Artikel diambil daripada:Anak pintarOleh Hazirah Che Sab zeehan@bharian.com.my 2010/03/21 http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Anakpintar/Article/index

Khamis, 18 Mac 2010

Baru keluar oven

Dua hari lepas saya menerima panggilan telefon daripada editor Buku Prima S/B, Puan Nine.
Berita baik yang saya terima benar-benar memekarkan bunga-bunga kegembiraan di hati saya.
Alhamdulillah.
Segala puji hanya kepada ALLAH s.w.t.
Buku DUNIA ALMIRA telah selamat dicetak....
Terima kasih sekalung budi buat warga Buku Prima S/B.
Semalam juga, saya bergegas mengambilnya.
Terima kasih kepada cik abang yang sudi menemani....
Dalam kesesakan lalu lintas...sampai juga kami ke Buku Prima S/B.

Benar kata Puan Nine, buku ini sangat cantik selepas dicetak...
Terima kasih ilustrator dan designer....
Lukisan mereka benar-benar menggambarkan kisah Almira dan adik-adiknya....
Ia ceria dan comel....
Secomel dunia kanak-kanak yang sentiasa ceria...
Beria-ia anak-anak saya membelek-belek complementary copy yang diperolehi.

Buat rakan-rakan yang telah menempah.
Insya ALLAH minggu hadapan saya akan cuba hantar.

Terima kasih atas sokongan semua kepada saya.

Insya ALLAH pada 27 Mac 2010, saya akan berada di gerai Buku Prima Sdn.Bhd. di Pesta Buku Kuala Lumpur antara pukul 11 pagi sehingga 2.00 petang....

Marilah kita bersama-sama memupuk semangat suka membaca di kalangan anak-anak...

Ahad, 7 Mac 2010

Buku Dunia Almira


Assalamualaikum dan Salam satu Malaysia


Pengunjung-pengunjung dan Rakan-rakan semua


Buku kanak-kanak pertama saya Insya ALLAH akan menjengah pasaran pada 24 Mac 2010. Koleksi istimewa.

Sangat sesuai untuk anak-anak, anak-anak saudara dan adik-adik.

Menggunakan gaya bahasa yang mudah dan senang untuk difahami namun tidak melupakan intipati utama untuk memupuk semangat suka membaca dan peningkatan ilmu yang diceritakan secara ringkas sebagai pengenalan kepada kanak-kanak.

Ilustrasinya juga sangat menarik. Terima kasih Buku Prima.

Buku ini boleh didapati daripada Buku Prima S/B, kedai-kedai pengedar dan secara terus daripada saya.

Insya ALLAH jika berkesempatan, buku ini akan membuat kemunculannya pada Pesta Buku Kuala lumpur di PWTC pada 19-29 Mac 2010.

Gambar dan sinopsis diambil daripada laman web Buku Prima.


Bagi yang sudi membeli, harap dapat beritahu saya komen atau cadangan bagi memperbaiki buku sebegini di masa hadapan.


Terima kasih




Dunia Almira

ZAKIAH ABD. GHAFAR

RM 7.50

ISBN: 978-967-5489-29-7
~48 hlm
Bahasa Melayu

Dunia Almira berkisarkan keseronokan dunia kanak-kanak yang mencuit hati di samping memberi ilmu pengetahuan

Kisah-kisah yang terdapat dalam Dunia Almira ialah:

~ Anak Kucing Comel

~ Air Sihat

~ Alam Fantasi Kupu-kupu

~ Bermain Dengan Bayang-bayang

~ Tangkap Hantu Bungkus

Tarikh Terbit: 24 Mac 2010


Salam hormat Zakiah
p/s: Terima kasih sekalung budi buat warga Buku Prima S/B yang percaya kepada buku ini. Almaklumlah saya penulis baru...Kerdil benar dari segi pengalaman
Alhamdulillah

Rabu, 30 Disember 2009

Part 2 : Ubahsuai T-shirt dewasa kepada skirt bertingkat kanak-kanak

Semangat saya begitu membuak-buak untuk mengubahsuai t-shirt2 yang sudah tidak digunakan oleh adik-adik saya.

Terima kasih Kakrul, Fahri, Sukri dan Azmi.....heheheheh....Terima kasih daun keladi.

Pelbagai perancangan menjahit telah ada di dalam minda saya cuma saya tidak berkesempatan untuk merealisasikannya lagi memandangkan baju seragam sekolah anak sulung masih belum siap sepenuhnya dijahit....


Memang seronok menjahit ini....Percayalah...Yang pentingnya ada kemahuan, minat dan sedikit alatan....Kali ini modal kain juga tidak perlu dikeluarkan kerana tidak perlu dibeli...Ubahsuai sahaja...Kalau saudari saudara ada koleksi t-shirt yang sayang untuk dijadikan kain buruk tapi sudah tidak muat digunakan...Marilah kita bersama-sama memulakan projek ini..Niat saya hanyalah untuk berkongsi, manalah tahu jika boleh digunapakai oleh saudari saudara...Sesungguhnya ilham dan ilmu ini datangnya daripada ALLAH s.w.t


Pada waktu ini saya hanya sempat memasukkan 2 jenis skirt bertingkat sahaja....Ukurannya pun saya main agak-agak sahaja....Tak berapa bagus macam tu bukan?, namun ada blog tertentu yang ada menerangkan cara ukurannya yang sangat terperinci...InsyaALLAH suatu hari nanti saya akan ulas tutorial tersebut....Tak sabar rasanya nak berkongsi cara menjahit skirt bertingkat tersebut.


Skirt ini agak ringkas kerana tidak dihias dengan riben dan renda....kerana saya bercadang untuk menjahit beberapa helai skirt untuk anak-anak saya...Cadangnya ada yang ringkas dan ada pula yang akan dihias dan dijahit hiasan bersulam yang telah saya beli lama dahulu di kedai RM1....


Sudi-sudikanlah melihat skirt ringkas ini sebagai pendahuluan tutorial skirt bertingkat....Bagi yang sudah ada idea, marilah kita buat sama-sama ya...Pattern baru skirt nanti akan saya kongsikan bersama dan saya juga bercadang untuk menjahit skirt bertingkat saya sendiri...Suatu hari nanti.... InsyaALLAH


Percayalah....Seronok memakai jahitan sendiri meskipun kurang kemas...Selamat melihat dan Selamat mencuba

a) Skirt bertingkat...keseluruhannya hijau...




b) Skirt bertingkat...belang-belang merah dan biru..Saya sengaja memasukkan logo t-shirt pada tingkat kedua skirt...
















Selasa, 22 Disember 2009

Part 1 : Apa yang boleh anda lakukan dengan T-shirt yang sedikit kusam, tidak lagi muat atau sudah bosan digunakan

Mukadimah: Ubahsuai T-shirt lama anda
Teringat saya ketika kecil dahulu.

Ada rakan abah yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di kilang penghasilan t-shirt.

Ada ketikanya perca2 atau t-shirt yang hendak dilupuskan akan diberikan oleh rakan abah kepada abah yang sedang mengikuti kursus menjahit.

Abah saya sungguh kreatif...

Dengan apa yang ada...beliau berjaya mengubahsuai perca2 itu kepada berpasang2 baju tidur dan seluar adik-adik saya yang ketika itu di sekolah rendah dan tadika.

Melihat kesungguhan abah, saya, kakak dan emak turut tidak melepaskan peluang menghasilkan sarung bantal yang beraneka ragam daripada perca2 itu. Memang selesa kerana kain t-shirt sungguh selesa dan tidak panas.

Berpandukan kenangan itu dan pencarian di internet (saya berasa sungguh gembira sekali kerana rupa2nya bukan hanya kami yang menukar bentuk t-shirt kepada bentuk sekali.........banyak sekali idea2 di internet....cuba layari....menarik sekali idea mereka).

Untuk misi waktu ini, saya telah menyelongkar baju-baju puteri saya yang tidak muat lagi dipakai dan juga yang kotor sedikit untuk diubahsuai.

Balik kampung minggu lepas jua, berhelai-helai saya perolehi dari adik-adik saya...Baru-baru lagi t-shirt tu tetapi saiz sudah tidak sesuai...

Apa lagi sempatlah saya memulakan projek ubahsuai t-shirt saya....


Isnin, 14 Disember 2009

Tutorial Mudah Menjahit Kain Sarong Kanak-kanak / Sewing Kid's Sarong Easy Tutorial

Selamat melayari Laman Zakiah.
Sebuah laman yang saya reka untuk menyatakan sedikit pengalaman dan ilmu yang saya miliki...
Saya sering melayari laman blog yang memuatkan tutorial menjahit yang lengkap dengan gambar dan ayat yang mudah diikuti...
Syabas buat mereka dan saya juga terfikir untuk berkongsi sedikit ilmu yang saya miliki sementelah saya ada sedikit masa kerana sedang menjahit baju sekolah anak sulung saya..
Bukankah curahan ilmu yang bermanfaat ini adalah suatu kepuasan dan sekiranya semakin ramai yang mampu menjahit pakaian mereka dan anak-anak, bukankah ini akan dapat membantu menjimatkan lebih banyak sumber kewangan.
Untuk tutorial permulaan ini, saya ingin berkongsi cara mudah untuk menjahit kain baju kurung kanak-kanak...
Mungkin cara saya ini tidak menepati skema jahitan yang sebenar kerana saya tidak memiliki sebarang tauliah dalam jahitan namun pengalaman secara tidak langsung belajar menjahit daripada abah, emak, rakan-rakan, makcik-makcik, kakak-kakak dan laman internet yang saya praktikkan selama ini ingin sekali saya perturunkan buat semua yang sudi membaca tutorial ini...


Teringat saya dahulu, jika abah dan emak menjahit menjahit baju saya, saya sungguh teruja sekali dan akan memerhatikannya dengan perasaan gembira....Dari situ saya mula belajar, tambah pula minat menjahit memang ada.
Namun bila saya sudah mula menjahit baju2 saya sendiri....saya rasa kekok untuk menjahit di hadapan abah...hihihi kerana abah sangat kemas jahitannya.
Kenapa saya panggil cara ini cara mudah? Kerana biasanya kain kanak-kanak tidak perlu dijahit zip kerana ini memudahkan mereka untuk memakainya sendiri.


Langkah Pertama:
1) Ambil contoh kain baju kurung yang selesa dipakai oleh si pemakai.Oleh kerana anak-anak saya cepat tinggi...Biasanya saya akan lebihkan lagi panjang kain tersebut....


Langkah Kedua
2) Bentangkan contoh kain tersebut di atas material yang telah dibeli... Pastikan lipatan rumpulnya juga dibentangkan supaya lebar lipatan rumpul juga dikira. Dalam contoh gambar ini, saya membeli kain kapas untuk menyediakan kain baju sekolah kebangsaan (biru tua) dan kain baju sekolah KAFA (hijau)....
Kain kapas ini saya beli di Kedai Perniagaan Lim di Pendang dengan harga RM2.50 semeter dan untuk untuk setiap warna, saya telah membeli 6 meter untuk menjahit 5 helai kain baju kurung untuk setiap satu warna.
Langkah Ketiga

3) Potong kain dengan berhati-hati. Panjang kain perlu dilebihkan untuk menjahit getah kain dan lipatan di bawah kain. Biasanya saya akan letakkan getah di atas kain dan melebihkan ukuran untuk menjahit getah kain mengikut lebar getah kain tersebut.



Langkah Keempat

4) Cantumkan hujung kain. Oleh kerana saya tidak mahu menghantar kain-kain ini ke kedai untuk dijahit tepi kerana mahu cepat siap, maka saya menjahitnya dua kali iaitu yang pertama, cantumkan tepi kain dari bahagian hadapan kain. Kemudian terbalikkan jahitan tersebut dan jahit sekali lagi seperti gambar di bawah. Dengan cara ini, jahitan kita lebih kemas dan lebihan benang di tepi kain tidak akan tertarik.


Langkah Kelima

5) Jahit bawah kain. Ada beberapa jenis jahitan yang sering saya buat iaitu sama ada jahitan biasa yang dijahit dua kali pada bawah kain atau jahitan zigzag. Sekarang saya memang lebih gemar menjahit zizgzag sahaja di bawah kain kerana lebih mudah dan cantik.Caranya lipat sedikit kain di bahagian bawah....Biasanya saya gunakan bahagian kain yang ada lubang kecil-kecil itu. Jahit zigzag menggunakan benang yang sama warna dengan kain.


Langkah Keenam


6) Langkah ini sangat penting kerana ia menentukan keselesaan kain iaitu melipat rumpul. Lipat satu persatu dengan saiz yang sama iaitu seperti kita melipat kipas kertas. Pinkan rumpul yang telah siap.


Langkah Ketujuh

7) Jahit bahagian atas rumpul (tepi) tersebut supaya rumpul tidak lari apabila kita menjahit getah nanti.


Langkah Kelapan

8) Jahitkan getah kain di bahagian atas kain (bahagian pinggang) yang telah siap dijahit rumpulnya. Oleh kerana kain-kain ini tidak dijahit tepi maka saya perlu sembunyikan hujung kain yang dipotong ke bahagian dalam sebelum menjahit getah supaya benang tidak tertarik. Jahitkan hujung getah dahulu supaya getah tidak lari.


Keterangan gambar:

Mengagak lebar jahitan getah kain dengan meletakkan getah di atasnya.

Keterangan gambar: Jahitkan hujung getah di atas bahagian tersebut (garisan hitam)



Keterangan gambar:

Jahitkan getah mengikut garisan putih sehingga keseluruhan 9/8 bahagian pinggang telah dijahit. Jangan potong dahulu lebihan getah tersebut. Ukur lebar pinggang anak yang selesa untuknya, potong dan jahit hujung getah seperti tadi dan habiskan menjahit di bahagian pinggang.


Langkah saya ini agak berlainan daripada yang diajar oleh abah saya kerana seperti yang saya katakan saya mahu cepat siap. Namun kita perlu berhati2 supaya getah tidak terjahit bersama pada kain. Cara yang diajar oleh abah saya ialah jahit dahulu ukuran getah pada pinggang kain, barulah masukkan getah dengan menggunakan pin. Terpulang langkah mana yang selesa diikuti.

Langkah Kesembilan
9) Tarik bahagian pinggang dan pastikan kerutan di pinggang adalah sekata dan jahit tengah getah tersebut.


Dah siap!!!!!!!!!!!!
Senang kan??????????
Jika tutorial ini agak kurang jelas untuk diikuti.... saya mengalu-alukan soalan2 anda.....Dengan berbesar hati saya akan cuba menjelaskannya dengan lebih baik.

Selamat mencuba!!!!!

p/s: Jika kebuntuan untuk memasak hari ini.... Cuba ikuti tutorial ini..memang mudah dan jimat....kanak-kanak pun suka.

Khamis, 10 Disember 2009

Hooray disertasi telah dihantar


Alhamdulillah saya telah berjaya menghantar disertasi saya pada 8 Disember lepas.

Syukur Ya! ALLAH.

Saya sendiri tidak menyangka saya berjaya menghabiskan pengajian ini....

Rabu, 2 Disember 2009

Disertasi

Minggu selepas Hari raya AidilAdha ini sememangnya minggu yang agak menyesakkan... Apataknya petang sebelum pulang ke Kedah untuk berhari-raya; barulah draf disertasi dapat diambil....
Terima kasih untuk penyelia dan pemeriksa di atas segala tunjuk ajar...Memang banyak helaian yang dilipat bagi tujuan pembetulan... Saya bersyukur...Alhamdulillah... Sesungguhnya penerimaan pihak mesyuarat atas disertasi sudah berjaya menambahkan kegembiraan dan kegirangan di hati saya.

Syukur kepada ALLAH s.w.t yang telah melapangkan dan memudahkan mini projek ini sehingga selesa...

Ketika di permulaan perlaksanaan projek...saya sering tertanya-tanya samada saya mampu menyelesaikannya atau tidak..

Alhamdulillah...

Terima kasih Ya Allah kerana persekitaran kerja di makmal Kromatografi dan Tradisional yang sangat memberangsangkan.... Di sinilah cinta saya kepada bidang penyelidikan telah bermula... Para pegawai dan kakitangan di kedua-dua makmal ini memang baik sekali dan sangat menjiwai kerja mereka.

Hari Isnin dan Selasa, saya berkampung di pejabat. Terima kasih sebanyak-banyaknya kepada Dr. Su yang sudi meluangkan masa emas beliau untuk menyemak disertasi saya...Memang banyak kekurangannya...


Perkara yang perlu diselesaikan sebelum hari Jumaat ini.

1) Siapkan pembetulan

2) Cetak 8 salinan

3) Bukukan dengan kulit keras

4) Jangan lupa zakiah, Surat pengesahan juga perlu difotostat dan dibukukan bersama


Sebagai kenangan untuk diri sendiri: High Performance Liquid Chromatography yang saya gunakan dalam mini projek saya...

Rabu, 25 November 2009

Ketakutan

Semalam suami saya mengeluh... mengadu bahawa akhir2 ini dia telah menjadi seorang pelupa...
Aduan ini telah saya terima beberapa kali daripada beliau sebelum ini...

Nasihat saya:

  • Sebutkan perancangan atau tindakan yang ingin dilakukan kepada diri sendiri.

  • Buat checklist untuk diri sendiri

Saya sering melakukannya untuk diri saya kerana saya juga begitu....Pada pandangan saya, mungkin kerana dosa saya banyak.....dan saya perlu mengubah diri saya kepada yang lebih baik... bukan untuk orang lain tetapi untuk diri saya sendiri...Pernah saya berlari ke tingkat atas rumah untuk mengambil barang tetapi bila saya tiba di atas...saya tidak ingat lagi apa yang perlu saya ambil....Puas saya ke hulu ke hilir....masih tidak ingat ingat juga. Puas saya memarahi diri sendiri juga masih tidak ingat akhirnya lebih baik saya buat kerja lain dulu...dan akhirnya ia akan datang sendiri....:)
Mungkin juga kerana terlalu banyak yang saya fikirkan dalam minda saya dan saya tidak berupaya menghalangnya untuk berlegar-legar memikirkan pelbagai perkara.
Apapun... jika sesuatu hal tidak berapa penting...mungkin ada hikmahnya kita terlupa perkara itu...(mungkin) (dan ingat ini adalah hanya untuk perkara yang remeh-temeh)........

Hari ini juga saya telah benar-benar terlupa. Puas saya hubungi Prof. Tan untuk mengambil draf....rupa-rupanya meeting itu hari ini dan bukannya semalam.....Malu saya....risau sendiri daripada semalam rupa-rupanya saya telah tersilap haribulan...Apapun senyum.......



Khamis, 19 November 2009

Birthday puteri-puteri


Semalam saya dan suami mengadakan sambutan hari lahir untuk kedua-dua puteri kami di sekolah tadika mereka. Terima kasih kepada guru-guru yang membantu menguruskan sambutan sederhana itu dan selepas suami saya pulang petang itu, sekali lagi kami mengadakannya di rumah untuk kami berlima sahaja....

Teringat saya ketika saya di sekolah rendah dahulu, teringin benar saya untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir (hehehehe) (macam-macam kan saya ni...) (yalah selepas menghadiri pelbagai jamuan hari lahir rakan-rakan, teringin juga kan...).

Namun saya amat maklum, ia adalah di luar kemampuan abah dan emak...

Kami bukanlah miskin, tiada yang kurang... Cukuplah kalau saya simpulkan sebagai sederhana... dan saya tahu, banyak benda yang perlu diutamakan oleh abah dan emak.... dan sambutan hari lahir tiada dalam senarai keutamaan itu...sementelah hanya abah seorang yang bekerja dan adik-beradik saya agak ramai...

Akhirnya dek kerana keinginan saya yang amat tinggi...saya berjimat cermat berbelanja dan akhirnya saya mengadakan sambutan itu dengan amat sederhana...tetapi seronok benar rasanya kerana kami beramai-ramai berkumpul makan-makan dan bermain beramai-ramai....main bola dua pihak dan kerusi beracun...... Ini pun hanya berjaya diadakan dengan kerjasama emak dan adik-beradik saya...(hehehe)

Emmm........ jika difikir-fikir......

meskipun hal ini amat kecil, namun bagi saya natijahnya amat besar....

Ia berupaya menambah keyakinan saya bahawa sesusah mana pun suatu perkara....ia pasti akan berhasil sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh....


Emmm.....

Tak lama lagi... puteri pertama saya akan memulakan sessi persekolahan di sekolah kebangsaan dan kafa integrasi...

Saya merancang untuk menyediakan 5 pasang baju sekolah memandangkan saya tak mungkin dapat mencuci baju sekolahnya setiap hari....akhir Disember ini...saya akan mula bekerja semula...

Cita-cita memang besar...kononnya mahu menjahit sendiri tetapi kain kapas juga belum dibeli...Ini sudah bulan November...

Mungkin membeli yang sudah siap lebih mudah dan harganya lebih kurang pula.... (saya akan membuat kira-kira baru sekiranya perancangan saya untuk menjahit sendiri akan menjadi kenyataan....jangan hangat-hangat tahi ayam sudah)...

Belum lagi habis menjahit baju yang telah dipotong dan dijahit tepi semalam....heheheh (tapi dalam minda sudah ada perancangan untuk memulakan aktiviti lain pula...)

Kadang-kadang saya fikir, minda saya terlalu ligat merancang dan selepas merancang, minda saya telah melakukan aktiviti tersebut dengan imaginasi dan ia menunggu masa untuk dilaksanakan...

Fuhhhhhhhh........


Saya masih mahu mencoretkan kenangan saya ketika di alam persekolahan dahulu...

Ketika abah bawa saya ke kedai mini market, kedai Tonjang dan kedai ubat di Kundang untuk membeli kasut sekolah...Saya tidak pernah meminta abah untuk membelikan kasut yang agak mahal seperti di iklan televisyen....

Bukan kerana saya tidak teringin....

Iklan-iklan di tv itu sebenarnya benar-benar telah menawan hati saya (hahahah...saya memang suka tengok iklan)....tetapi saya tahu ia agak mahal.....

sebaliknya saya akan pilih kasut sekolah yang agak murah....


sehinggalah selepas keputusan SRP saya telah keluar (meskipun saya tidak memperolehi 8A1)...Bagi abah, saya telah berusaha sebaik mungkin dan mungkin juga bagi abah, keputusan itu agak baik untuk saya....abah membawa saya ke supermarket untuk memilih kasut sekolah...

Saya masih seperti dahulu memilih kasut yang biasa dan murah harganya tetapi abah (waktu itu abah telah pun pencen dan abah mengambil upah menoreh getah).....abah telah membelikan kasut yang mahal buat saya (itulah kasut pertama yang berharga lebih RM20 yang pernah saya miliki)....ia memang berbeza daripada kasut-kasut sekolah saya lain....

Terima kasih abah....saya tidak pernah mengimpikan semua ini....
Saya tahu, itu semua hadiah abah kepada saya.......

Malah abah juga telah menghadiahkan lagi sepasang kasut hitam buat saya...(bagaikan abah telah tahu bahawa saya akan menjadi seorang pengawas di menengah atas)


Terdiam.......Tarik nafas.........
Air mata saya sentiasa bergenang kalau mengenangkan hal ini semua...
Tak mungkin saya dapat membalas semua jasa emak dah abah saya....
Malahan meskipun saya telah bekerja sekarang....
Tak mungkin saya dapat menjaga mereka seperti mana mereka menjaga saya dahulu.....

Terima kasih emak dan abah

Model Face Mask







Lama benar saya tidak menulis di sini.
Bukan kerana saya telah melupakan erti sebuah perkongsian.
Namun dek kerana ketidakcekapan pembahagian masa dan terdapat perkara yang menuntut keutamaan masa....enak sekali blog ini menjadi suatu laman yang penuh sawang....
mujur juga tidak lenyap terus...sayang juga...ia seperti diari dan suatu dimensi hati saya yang tidak dapat saya luahkan melalui perbualan
Sebenarnya saya ingin berkongsi mengenai beberapa gambar yang saya ambil ketika Swine Flu begitu hangat melanda negara kita..
Saya amat-amat bimbang dengan penyakit ini...
Bukan untuk diri saya sendiri namun untuk semua umat manusia dan hidupan di muka bumi ini...
Lebih lebih lagi ketika ia amat hangat di Malaysia, saya dan keluarga turut menghidapi selsema dan beberapa kali kami berulang-alik ke klinik untuk mendapatkan rawatan dan kepastian. Alhamdulillah kata doktor, ia hanya selsema biasa.
Buat ibu bapa dan kaum keluarga dan keluarga yang kehilangan orang yang tersayang akibat virus ini... saya dan keluarga ingin menyampaikan salam takziah kami.

Selasa, 4 Ogos 2009

Penantian yang tidak ternoktah


Dalam hidup ini terlalu banyak yang saya nanti dan akan tetap saya nantikan. Pendek kata setiap hari, penantian itu tidak akan ternoktah; sekiranya yang lalu telah diperolehi.... ia akan tetap berulang dan berulang kerana saya pasti menanti sesuatu yang baru lagi....

Bolehkah saya simpulkan bahawa hidup ini adalah satu penantian?????

Bukankah kita juga sedang menanti untuk dipanggil pulang ke pangkuan YANG MEMILIKI...

Namun bukan dengan berdiam diri... atau mencari saat kepulangan itu....

Meskipun saya sedang sakit... saya juga tidak tahu sama ada kesakitan ini akan menyebabkan saya terus pulang ke pangkuan ILAHI...

Saya teringatkan cerita rakan sekelas yang juga sedang tekun melaksanakan mini projeknya seperti saya...

Kami sama2 memerapkan diri di dalam makmal namun bukan bukan di dalam makmal yang sama.

Beliau menelefon saya menceritakan perjalanannya ke universiti yang telah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang mahasiswa yang tinggal di kawasan apartmen yang sama...(Kisah ini telah tersiar di banyak akhbar tanah air)

Saya berfikir sendiri...

Saya gayat... apabila berdiri di tempat yang tinggi... kedudukan jantung saya seakan tidak stabil...ia bagaikan terawang-awang dan menunggu masa untuk tercabut...argh!!!!

Saya mendoakan supaya semua orang yang mahu membunuh diri mempunyai sifat GAYAT supaya mereka tidak akan meneruskan niat mereka untuk terjun bangunan atau jemputan atau bukit atau gunung...

Lihatlah dunia yang amat luas ini...

Tibanya masalah atau kesedihan dalam hidup ini bukan menandakan berakhirnya riwayat hidup kita...

Ia menandakan suatu kematangan apabila kita dapat mengatasinya....

Kejayaannya adalah suatu kemanisan yang tidak ternilai rasanya...

Saya menulis daripada pengalaman sendiri...

Saya pernah gagal subjek yang saya ambil di universiti dahulu...saya mengulang subjek berkali-kali

Dan saya bersyukur dan amat bersyukur

Jika saya tidak bangkit semula selepas kegagalan itu, saya tidak dapat bayangkan keadaan saya...

Inilah suatu kemanisan dalam kehidupan....

Saya pernah gagal dalam percintaan dengan sang manusia dahulu...

Dan jika saya menutup pintu hati saya dan tidak menerima cinta yang dihulurkan oleh suami saya.....

Mungkin kehidupan saya tidak seistimewa sekarang...

Alhamdulillah

Syukur pada MU Ya ALLAH...

Saya tidak akan biarkan hidup saya tertewas dan kebangkitan saya terkubur

Saya yakin setiap manusia ada kesungguhan dan kekuatan...
Semoga kita semua kekal begitu


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...