Jom Ikut Blog Saya

Selasa, 31 Mac 2009

Mineral Pot

Isteri :Abang, boleh tak abang tolong isikan mineral pot sekali sekala.

Suami : Memang abang nak tolong isi tapi.......

Isteri : Tapi apa bang?

Suami : Setiap kali abang nak tolong isi, mesti mineral pot itu dah berisi. Awak tu rajin bebenor.

Isteri terdiam dan tidak mampu menjawab...

Adakah sang isteri terlalu efisien sehingga sang suami tidak dapat menolong?????

Ataupun

Sang suami tidak efisien sehinggakan sang isteri terpaksa melakukannya setiap hari?

Isnin, 30 Mac 2009

Dialog suami isteri mengenai Kejohanan Basikal Poland malam tadi

Azizulhasni raih perak (Tajuk berita diambil daripada akhbar Berita Harian 3 Rabiulakhir 1430)

HANYA setengah tayar menjadi pemisah gelaran juara dunia buat Azizulhasni Awang yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak di Kejohanan Basikal Trek Dunia di Pruskow, Poland, malam tadi (juga dipetik daripada akhbar yang sama)

Beberapa minit selepas kejohanan berakhir malam tadi...........

Saya: Apa kesudahan Kejohanan Basikal tadi
Suami: Pingat Perak. Wau!!!!! Kecil sahaja orangnya tetapi semangatnya hebat
Saya: Maknanya atlit ini atlit 'underdog' ke? (Kemenangannya tidak dijangka)
Suami: Bukan 'underdog'...
Saya terpaku dan memerhati wajah suami untuk memastikan ayat seterusnya dapat saya dengar dengan jelas.
Adakah suami saya tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan 'underdog' kerana beliau seorang muslim.......
Suami: Tetapi 'underturtle' kerana beliau adalah orang Terengganu...

Kami ketawa berdua di keheningan malam.

Ahad, 29 Mac 2009

TIPS PENGURUSAN PAKAIAN SESEBUAH KELUARGA 2

TIP PEMILIHAN PAKAIAN UNTUK DICUCI

Banyak tips yang saya perolehi daripada emak dan abah kesayangan dan ramai lagi insan-insan istimewa yang tidak mampu saya nukilkan satu persatu nama beliau.
Pendek kata, tip-tip yang diperturunkan ini telah banyak membantu saya dalam menjalankan tugas seharian dan ingin saya kongsikan bersama saudari sekelian.
Dalam artikel pendek ini, saya ingin berkongsi mengenai tips pemilihan pakaian untuk dibasuh. Ini adalah untuk memastikan supaya pakaian bertahan lebih lama dan masih seperti baru.

  1. Jika saudari mempunyai banyak masa berlebihan, petua abah saya ini bolehlah dipraktikkan. Abah saya memang tidak gemar pakaiannya dicuci dengan mesin basuh. Sebab itu ayah saya mempunyai banyak pakaian yang nampak seperti baru dan tidak berbulu.
  2. jika langkah pertama tidak berkaitan dengan saudari, sila gunakan petua keduaini ; hanya pilih pakaian baru dan pakaian sensitif sahaja untuk dibasuh menggunakan tangan.
  3. Seperti di atas, jika langkah pertama tidak dapat diamalkan, sila pastikan saudari mengkelaskan pakaian untuk dibasuh seperti di bawah:
  • Sila asingkan baju berwarna cerah dan berwarna gelap. Ia tidak sesuai dibasuh dalam satu basuhan untuk mengelakkan warna menjadi agak buruk atau kusam
  • Sila asingkan tuala daripada pakaian yang lain. Tuala hanya boleh dibasuh dengan tuala untuk mengelakkan bulu-bulu tuala yang mudah bertukar menjadi partikel halus mencemarkan pakaian harian kita. Biasanya saya akan mengumpulkan tuala kotor di dalam bakul basuhan berwarna hitam dan membasuhnya sekali seminggu. Ia adalah dengan syarat bahawa tuala itu tidak basah.
  • Jika mahu membasuh pakaian putih menggunakan mesin basuh pula, sila pastikan ia dibasuh sesama pakaianberwarna putih sahaja bagi jaminan warna putih yang cantik.
  • Jika tidak sempat untuk membasuh pakaian baru atau sensitif menggunakan tangan, biasanya saya akan menggunakan kelonsong/ jejaring basuhan yang terdapat pelbagai saiz dan pelbagi jenis material. Kelongsong yang berwarna putih ini mudah didapati di mana-mana pasaraya atau pembelian melalui katalog. Malahan kedai RM2 atau RM1.90 juga juga turut menjual kelongsong begini. Ia adalah dibezakan daripada segi kualiti material dan zip kelongsong tersebut.
  • Jika berkesempatan pula, biasanya saya akan membasuh pakaian baru atau sensitif secara sambilan semasa mandi. Sebab itu kadangkala saya mandi agak lama. Ini adalah antara sebabnya. Hehehehe.........:) Jika kita membasuh sambilan begini, kita tidak akan terasa keletihan. Kita perlu bijak mencuri masa kerana hanya kita dapat menentukan masa rehat kita sendiri. Biasanya pakaian orang dewasa tidak terlalu kotor.
  • Bagi pakaian anak-anak sekolah, saya tiada pilihan lain selain menggunakan berus kerana kekotorannya sangat boleh tahan terutama pada bahagian tangan dan kaki seluar.
  • Bagi kemeja suami pula yang tidak dikategorikan sebagai sensitif atau muda berbulu, biasanya saya akan mencalitkan sabun basuh kain berbentuk buku pada ruang kolar baju dan kancing kedua-dua lengan supaya kotoran mudah tanggal jika dibasuh dalam mesin basuh.
  • Saya turut membasuh alas kaki secara berkumpulan menggunakan mesin basuh jika tidak punya masa yang banyak untuk memberus.
  • Malahan kain buruk juga saya basuh secara berkumpulan selepas dibilas satu persatu dengan mudah di sinki. Biarkan saja ia diputar oleh mesin basuh.

Ini adalah antara tip-tip mudah yang dapat saya kongsikan dengan saudari sekelian. Untuk kemudahan kita, sila letakkan bakul untuk meletakkan baju kotor di sebelah mesin basuh. Saya sendiri menggunakan bakul jaring berwarna hitam dan anak-anak memanggilnya dengan gelaran 'black basket'. Dalam hal ini sudah tentu kita memerlukan kerjasama para suami dan anak-anak untuk meletakkan pakaian kotor mereka sesudah mandi bagi mengelakkan kewujudan pakaian yang menjadi tempat penternakan cendawan atau pembiakan kulat jika dicampak tidak tentu hala.

Sekian. Selamat Mencuba!!!!!!!!!!!

Jumaat, 27 Mac 2009

Mesin basuh


Tidak dapat dinafikan betapa mesin basuh telah banyak membantu kita dalam menguruskan tugasan membasuh pakaian kotor.


Kali ini, kelas saya telah ditugaskan secara berkumpulan untuk mereka logic gates circuit untuk mesin basuh.


Kata kuncinya: sekiranya circuit yang dibuat sukar, maka markah adalah lebih banyak. Dengan kata mudah, markah diberikan berdasarkan rupa bentuk circuit untuk sendiri.


Sudah lama, saya memikirkan apakah spesifikasi sebuah mesin basuh. Bagi saya sendiri, saya menggunakan mesin basuh automatik yang amat memudahkan saya dan bersifat panjang jangka hayatnya. Buat masa ini, usia mesin basuh ini melebihi enam tahun.

Alhamdulillah buat masa ini, ia tidak pernah rosak.

Sudah tentu setiap kita ada pilihan mesin basuh yang tersendiri dan jika ditanyakan kepada saya. mengapa saya membeli mesin basuh ini?????????

Pasti ada pengaruh daripada seseorang dan seseorang itu adalah emak saya sendiri. Dalam hal ini, mesin basuh emak saya menjadi idola kepada mesin basuh saya. Ia dihadiahkan oleh abah kepada emak(meskipun abah sendiri lebih gemar mencuci pakaiannya sendiri menggunakan tangan) sewaktu mereka berdua begitu sibuk menguruskan dewan makan dan kantin demi mencari sesuap nasi. Semuanya sama kecuali warnanya sahaja. :)


Apakah spesifikasi mesin basuh yang menepati ciri-ciri pelbagai insan:
  • Ia boleh berhenti sendiri tanpa perlu menekan apa-apa butang

  • Ia mempunyai kebolehan mengawalatur air

  • Ia mempunyai kebolehan pemutaran untuk menghilangkan kotoran

  • Ia mempunyai kebolehan pusingan untuk mengeringkan pakaian

  • Ia telah ditetapkan untuk menjalankan tugas membasuh- mengering-membilas-mengering-membilas

Nampaknya spesifikasi saya terlalu biasa. Saya perlu tambahkan lagi... Mungkin juga perbincangan kumpulan yang akan diadakan selepas kelas malam ini akan membantu dalam mencungkil spesifikasi baru untuk dunia mesin basuh.


Terima kasih mesin basuh....

TIPS PENGURUSAN PAKAIAN SESEBUAH KELUARGA 1



TIPS MELIPAT PAKAIAN YANG BERKESAN DAN MUDAH DAN MENJIMATKAN MASA




Selamat Pagi
Saya baru sahaja melipat kira-kira 20 keping pakaian dan menyimpan berpasang-pasang baju.
Sebenarnya keluarga saya tidaklah begitu besar. Kami hanya berlima termasuk saya dan suami suami isteri.
Walaubagaimanapun secara jujurnya, bagi saya tugas melibatkan pakaian bukanlah satu tugasan yang mudah. Jika saya dibayar untuk menguruskan tugasan pakaian sebuag keluarga, belum tentu apa yang saya buat dapat menepati spesifikasi pakaian sesebuah keluarga.
Setiap keluarga mempunyai spesifikasi masing-masing; dan tidak terkecuali dengan saya sendiri.
Tugas pengurusan pakaian sebuah keluarga melibatkan pelbagai langkah bermula daripada:
  • Memilih dan mengkelaskan pakaian untuk dicuci


  • Mencuci pakaian


  • Menyidai pakaian


  • Menggantung dan melipat pakaian


  • Menyimpan pakaian


  • Menggosok pakaian


  • Mengemas almari yang menyimpan pakaian


  • Mencari pakaian untuk dipakai


  • Memadankan pakaian yang sesuai

Pada pagi ini saya ingin berkongsi beberapa tips mudah untuk melipat pakaian. Tugas ini tidak boleh ditangguhkan begitu lama kerana ia akan membentuk segunung pakaian dan ia akan melibatkan masa dan tenaga yang banyak.Bagi saya sendiri, tugas ini bermula daripada saya memilih pakaian untuk dibasuh. Sebagaimana yang kita maklum bahawa tidak semua pakaian boleh dicampur-adukkan untuk dibasuh menggunakan mesin basuh..... Ops saya terpaksa tangguhkan dulu penurunan ilmu mengenai tips memilih pakaian untuk dibasuh kerana ia memerlukan artikelnya sendiri untuk diperbincangkan.Untuk memudahkan tugasan melipat pakaian, ia bergantung kepada cara kita menyidai pakaian. Apa yang saya amalkan selama ini ialah:

  • Pastikan baju kurung dan kainnya digantung bersama menggunakan penyidai baju


  • Pastikan kemeja suami digantung dengan cara berbutang satu atau dua


  • Pastikan baju sekolah anak-anak digantung sepasang kecuali tudungnya


  • Pastikan semua pakaian yang berpasangan digantung bersama


  • Pastikan semua kain pelikat, kain batik dan seluar panjang suami juga digantung


  • Pakaian-pakaian kecil yang lain bolehlah disidai seperti biasa di ampaian baju.


Biasanya saya menggantung hampir kesemua pakaian dan tuala kecuali pakaian-pakaian kecil. Ini amat menjimatkan masa. Saya pernah terbaca satu artikel oleh seorang pendakwah JIM dan saya turut bersetuju bahawa tugasan melipat pakaian juga menuntut masa yang bukan sedikit dan hal ini tidak sepatutnya dijadikan halangan untuk tugas dakwah dan beliau juga turut mengutarakan idea yang sama seperti di bawah.

Bagi saya sendiri sebagai seorang wanita berkerjaya dan tiada pembantu rumah. Saya keluar selepas subuh dan hanya tiba di rumah sesudah maghrib, masa di rumah amat pendek, malah tenaga juga sudah berkurangan kerana telah diperah untuk bekerja di siang hari. Ketika artikel ini ditulis, saya sedang cuti belajar dan mendapat tajaan penuh daripada sebuah kementerian. Kini waktu saya berada di rumah juga sudah berbeza. Malah ada waktunya, meskipun saya berada di rumah; saya langsung tidak dapat melakukan sebarang kerja rumah kerana saya perlu mengulangkaji dan menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.Inilah realiti hidup seorang wanita berkerjaya. Saya yakin ramai yang mempunyai jadual hidup seperti saya dan saya tidak berseorangan dalam hal ini.

Berbalik kepada soal melipat pakaian, biasanya sebelum saya bergegas untuk mengikuti kuliah ( pada waktu petang), saya akan mengangkat pakaian daripada jemuran secara mengikut kelasnya. Semua pakaian suami yang telah saya gantung akan saya angkat dahulu dan terus disimpan ke dalam almari beliau. Seterusnya pakaian saya pula akan saya angkat dan gantungkan terus ke dalam almari saya begitu juga dengan pakaian anak-anak. Saya sengaja mengangkat pakaian-pakaian ini mengikut pemiliknya untuk memudahkan tugasan menyimpan pakaian.



Nah!!!!!!!! mudah bukan. Saya telah berjaya melakukan banyak tugasan dalam satu masa. Bakinya iaitu pakaian kecil-kecil akan saya masukkan terlebih dahulu ke dalam bakul merah dan akan saya lipat secara sambil-sambil kerana ia sudah tidak banyak. Namun!!!!!!!! tidak semua suka menggantung baju. Terpulang kepada individu masing-masing mengikut kesesuaian masa yang kita ada. Mujurlah juga suami saya tidak berkira dalam hal ini. Beliau boleh menerima sekiranya seluar panjang dan kain pelikatnya dibiarkan tergantung di gantungan almarinya. Senang untuk dilihat dan senang untuk diambil. One sweet day, sekiranya saya ada masa yang berlebihan, saya akan secara sambilan melipat kain pelikat atau kain batik atau tuaala atau seluar panjang dan disimpan di rak lipatan.

Atau

Jika pakaian yamg dibasuh tidak banyak. Saya akan mengangkat kesemua pakaian yang digantung dan terus memasukkannya ke dalam almari pemilik pakaian tersebut. Keluarga saya pun tidak terlalu besar. Hanya berlima termasuk saya...

Sebagai seorang yang bukan SUPERWOMAN tetapi mempunyai tugasan seperti seorang SUPERWOMAN, pelbagai tips mudah perlu diamalkan. Ingatlah sebelum kita mahukan orang lain untuk mengasihi, menyayangi dan menjaga kesihatan kita, kita hendaklah terlebih dahulu menjaganya. Kita juga perlu masa rehat dan makanan yang berkhasiat supaya tenaga yang hilang dapat dipulihkan.

Ingat!!!!!!!!! Kita menentukan masa kita sendiri. Kita perlu merancang masa dan jangan biarkan masa meninggalkan kita begitu sahaja........

Khamis, 26 Mac 2009

I am not a SUPERWOMAN but I am already have a lot of designation


I am a HAMBA ALLAH s.w.t

I am a DAUGHTER

I am a WIFE

I am a MOTHER

I am a SISTER

I am a NEIGHBOUR

I am a WORKER

I am a STUDENT
I am a part of SOCIETY

Selasa, 24 Mac 2009

Capsicum annuum

Salam perkenalan buat semua yang sudi menjenguk ke laman penulisan saya yang serba sederhana.
Sebagai mukadimah, saya ingin berkongsi mengenai Capsicum annuum atau lebih dikenali sebagai cili api oleh masyarakat melayu.
Orang utara pula menggelarnya sebagai cabai melaka.
Bagi masayarakat kita yang berketurunan jawa, tumbuhan begini dikenali sebagai lombok rawit.
Bagi saya sendiri, apa-apa pun nama panggilannya, Insya ALLAH dapat saya mengenalinya.
Sebenarnya pada pertengahan julai 2008, hasrat hati saya untuk memulakan kebun sayuran dan bungaan comel di halaman rumah yang hanya sekangkang kera begitu membuak-buak.
Saya begitu teruja untuk menanam tanaman yang boleh digunakan dalam masakan seharian. meskipun ia tidak dapat menambahkan pendapatan; sekurang-kurangnya dapatlah menjimat perbelanjaan harian.
Pokok cili api pertama yang saya miliki, adalah yang telah saya beli secara sudah sederhana besar di nursery di taman yang saya duduki.
Harganya berpatutan dan satu polybeg mempunyai 4 batang pokok. Hanya RM5.
Tanpa tawar menawar, saya terus membeli pokok tersebut dan dibahagikan kepada dua buah pasu.
Pokok ini terlalu cepat mengeluarkan buah dan barulah saya menyedari bahawa ia sebenarnya adalah daripada spesies yang pendek dan merendang dan mengeluarkan banyak buah dalam satu masa. Tetapi buahnya sangat kecil-kecil dan pedas sungguh.
Jika cili ini digunakan untuk membuat sambal belacan atau air asam, maka saya perlu mencampurkan dengan lada besar supaya rasa pedasnya dapat dikurangkan.
Biasanya saya hanya memetik buah cili api ketika saya mahu memasak supaya ia tidak layu atau rosak disimpan terlalu lama.
Oleh kerana penghasilan buah cili ini melebihi keperluan saya, maka banyaklah buah cili yang telah tua jatuh menyembah bumi dan menghasilkan pula banyak anak pokok cili dan kini anak-anak pokok cili ini tidak terkira banyaknya di rumah saya.
Pagi tadi saya berkesempatan menambahkan tanah bakar yang diimpot dari ladang kepala sawit abah saya di Ledang ke dalam pasu-pasu di rumah saya. Dua batang pokok cili api yang telah saya beli (seperti yang saya maksudkan di awal penceritaan tadi) terpaksa saya buang kerana ia sudah kekuningan dan layu.
Meskipun ibu pokok cili api ini telah saya buang, namun keturunannya begitu subur hidup di rumah saya dan saya tidak bercadang untuk mencabutnya kerana meskipun ia masih kecil, ia telah pun menghasilkan buah cili api. Malah ada anak pokok cili yang telah subur di atas tanah.

Sekiranya ada di kalangan pembaca laman ini, yang memerlukan anak pokok cili untuk ditanam di rumah masing-masing; saya dengan sukahati ingin memberikan anak pokok itu secara percuma supaya kita sama-sama dapat menjimatkan perbelanjaan harian.

Yang pentingnya kita perlu ada usaha sedikit dan kesungguhan. Bagi para pembaca yang tidak mempunyai halaman yang luas, tanaman ini juga subur hidup di dalam pasu.
Mudah kan!!!!!!!!
Saya sendiri tidak berhasrat untuk menanamnya di atas tanah kerana ruang halaman yang agak sempit dan dikhususkan untuk anak-anak bermain.

Jangan malu-malu, sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan anak pokok cili ini secara percuma, boleh hubungi saya sekarang!!!!!!! (sementara stok masih ada).

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...